Wednesday, March 14, 2012

jutawan di dunia muflis di akhirat


بسم الله الرحمن الرحيم
كيف حالك؟

Subhanallah..Alhamdulillah..Astaghfirullah..

"Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Alllah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka.”(Riwayat Muslim).



Terpaku sebentar melihat satu ayat di sebuah blog yang berbunyi lebih kurang "muflis di dunia tak apa, jangan muflis di akhirat". teguran yang simple, tapi terkesan di hati. menuntut saya muhasabah amalan-amalan yang dah dibuat, dimanakah niat dan tujuannya. moga-moga amalan yang kita lakukan bukan sahaja di terima oleh Allah malah Allah menjadikan setiap amalan kita sebagai agent pembersih hati dan pengubah peribadi kita.

Jelas dari hadith ini, untuk menjadi jutawan akhirat, ada dua perkara yang perlu diberi perhatian. Hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Ramai orang berlumba-lumba menjadi jutawan pahala ibadah di dunia. Ibadah dibuat dengan bersungguh-sungguh tanpa mengira masa dan tenaga. Sebolehnya kita mahu menjadi seorang aabid yang terbaik disisi Allah, yang ikhlas, yang mengharap redha dan kasih sayang Allah. Jika anda sebegitu, alhamdulillah, teruskan bermujahadah dalam meraih cinta Illahi.

Namun hubungan dengan manusia sering kali kita pandang sebagai sesuatu yang remeh. Malah kadang kala kita sangka hubungan kita dengan manusia tiada kaitannya dengan siapa kita di sisi Allah. Kita sering kali menyangka dengan menjaga hubungan dengan Allah semata cukup untuk menjadikan kita seorang hamba yang baik, tanpa mempedulikan realiti bahawa kita kini sedang menjalani kehidupan di dunia ini, yang memerlukan interaksi dengan manusia, maka menjaga hubungan sesama manusia itu juga merupakan satu ibadah yang penting buat kita.

Lihat sahaja di dalam hadith Rasulullah saw tersebut, mereka yang muflis di akhirat kelak bukanlah mereka yang muflis dari segi ibadahnya di dunia, malah mereka membawa kekayaan yang banyak hasil ibadah mereka di dunia, membawa pahala solat, zakat dan puasanya, namun dek kerana gagal memenuhi hak hidup sesama manusia, maka pahala amalan mereka ditolak untuk membayar denda kepada manusia yang tidak dipenuhi haknya, maka jadilah mereka orang yang diisytiharkan muflis, muflis di hadapan Allah. Bayangkan pula jika terpaksa juga menanggung beban dosa orang yang dizalimi kerana kurangnya ibadah di dunia ini. sobs.

Bukanlah point saya hubungan dengan manusia lebih penting berbanding hubungan dengan Allah (seperti yang dikatakan di atas, jika anda sedang bermujahadah memperbaiki hubungan anda dengan Allah, maka tafadhal (silakan) untuk diteruskan). Cuma apa yang saya nampak di sebalik hadith ini adalah sepatutnya hubungan baik kita dengan Allah itu menambah baik hubungan kita dengan manusia. Bagaimana sepatutnya setiap ibadah yang dibuat mengubah dan membersihkan dalaman kita sehingga terpantul dan terpancar pada luaran diri kita. Sehinggakan kita senang kepada manusia, dan manusia senang kepada kita.

Seolah-olah satu teguran Allah melalui hadis ini, bahawa sepatutnya orang yang beribadah di dunia ini menjadi jutawan di akhirat, namun diisytiharkan muflis apabila ibadah yang dilakukan gagal untuk membentuk peribadi dirinya.

"Sesungguhnya shalat itu mencegah dari perbuatan-perbuatan fahsya’ dan mungkar" (QS 29:45)

Ibadah itu sifatnya menyucikan. Di situ letaknya kehebatan ibadah kita. Ibadah yang sempurna adalah ibadah yang dibuat ikhlas kerana Allah dan kesannya terpancar pada diri kita. Apabila kita benar-benar submit kepada Allah, maka Allah akan permudahkan urusan dunia kita, baik amal kita kepada Dia dan juga amal kita kepada manusia lain. Di situlah letaknya relationship hubungan manusia dengan Allah. Manusia disekeliling kita tidak akan terzalimi apabila kita menjaga hubungan kita dengan Allah dan berharap agar Allah memberi perlindungan terhadap hubungan kita dengan manusia disekeliling kita.

Muhasabah kembali diri kita. sejauh mana akhlak kita telah mencerminkan ibadah kita? sejauh mana ketaatan kita pada Allah menambahpulih hubungan kita sesama manusia? sejauh mana penyembahan kita pada Allah menjadikan kita insan yang bermanfaat pada mereka di sekeliling kita.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.” (Hadith Riwayat Bukhari)


p/s : Di kesempatan ini penulis ingin memohon maaf bagi sesiapa yang mengenali diri penulis. andai kata terkasar bahasa dan melukakan hati mana-mana pihak. moga Allah redha kepada kita dan kita redha kepada Allah.

Allahu a'lam.






No comments:

Post a Comment