Thursday, March 15, 2012

Recheck!

بسم الله الرحمن الرحيم
كيف حالك؟

Subhanallah..Alhamdulillah..Astaghfirullah..

Siapa yang nak main game angkat tangan! Wahhh..ramainya yang angkat tangan!..(muka bangga dan puas hati).

Baiklah, game nya sangat mudah, nama game ini obor-obor (ok, saya tak tahu kenapa saya letak nama game ni obor-obor). Hanya memerlukan sehelai kertas, sebatang pen, dan sekeping hati yang tenang. (sedikit tips yang mudah untuk mendapat hati yang tenang : siapa yang belum solat pergi solat, siapa yang belum baca quran sila baca quran dulu, siapa yang belum buka puasa sila makan (kalau dah masuk waktu maghrib la kan), dan siapa yang still tak dapat lagi ketenang hati lepas buat perkara di atas, teruskan berzikir dan pergilah mana-mana majlis ilmu sehingga ketenangan hati dijumpa.) (UWAGA: game ini punyai unsur yang melaghakan..jangan main permainan ini selagi anda tidak melakukan perkara di atas dan selagi mana hati anda mempunyai kegelisahan dan keresahan, kerana ia bakal membahayakan kehidupan anda seterusnya).


Ok. Gamenya sangat mudah. Selepas tarik nafas sebanyak tiga kali, letakkan kertas di hadapan anda dan pegang pen di tangan. Kemudian pejamkan mata. Bayangkan bahawa anda mempunyai satu malam sahaja lagi sebelum anda meninggalkan dunia ini. Jadi, tuliskan (ok, dah boleh buka mata melainkan anda ada kemahiran untuk tulis sambil pejam mata) 10 perkara yang anda hendak lakukan, dan mungkin 5 pesanan yang hendak anda beritahu pada orang sekeliling anda sebelum anda pergi buat selamanya.

(jangka masa game ini tertakluk kepada berapa lama anda nak pejam mata dan berapa lama anda tulis wasiat).

Baiklah, penat bermain, jom kita beriman sebentar, sesungguhnya hati ini lebih mudah berbolak-balik berbanding isi periuk yang menggelegak.

Ramai orang sebenarnya masih tercari-cari apakah tujuan hidup mereka. Bagi yang dah menyedari atas tujuan apa mereka diciptakan di atas bumi ini (yakni untuk menjadi seorang khalifah (2:30) dan seorang aabid (51:56)), kadang-kadang mereka sendiri berasa ragu-ragu, benarkah mereka telah melaksanakan kehidupan mereka berlandaskan tujuan yang Allah tetapkan ini. Dan ada pula yang begitu confident merasakan mereka benar-benar telah melaksanakan kedua-dua tujuan ini dalam kehidupan mereka. Syabas! Namun benarkah begitu?

-pastikah anda dengan tujuan hidup anda?-

Entry hari ini bukanlah untuk menghuraikan dua tujuan itu (saya yakin anda-anda jauh lebih faham hakikat kedua tujuan ini daripada saya), namun sekadar untuk mengajak kita sama-sama refleksi diri, sejauh mana kita telah menjadikan kedua-dua tujuan sebenar kita diciptakan ini sebagai asas kepada kehidupan kita. Sejauh mana kita telah melaksanakan kedua tujuan ini dalam mengejar kehidupan yang bahagia di akhirat kelak.

Menulis wasiat di saat akhir kehidupan mungkin sesuatu yang mencabar. Kerana di saat itu kita akan cuba untuk memprioritisekan the most important things yang perlu dilakukan dalam masa yang amat pendek. Apa yang bakal kita tulis adalah perkara yang kita rasa paling penting untuk kita selesaikan sebelum menemui Illahi. Dan dari situ sebenarnya, kita akan sedar, selama ini berdasarkan tujuan apa kita melaksanakan kehidupan kita. Bagi yang bermain game ini, cuba lihat kembali wasiat yang telah anda tulis sebentar tadi, sedar atau tidak, itulah sebenarnya tujuan hidup anda selama ini. Adakah ia sudah mematuhi kedua tujuan hidup yang Allah telah tetapkan pada kita?

Saya pernah bermain permainan ini dahulu bersama adik-adik bulatan gembira saya. Ada yang menangis, takut dan risau akan saat itu. Benar, hakikat untuk menghadapi kematian itu adalah sesuatu yang menakutkan. Perasaan menggambarkan saat itu sahaja sudah menyeramkan, apatah lagi bila saat itu benar-benar sampai kepada kita. Pastinya banyak perkara yang bermain di fikiran kita. Benarkah kita sudah bersedia menghadap Tuhan? Sudahkah kita selesaikan perkara-perkara yang sepatutnya kita selesaikan?

"Perbanyakkanlah olehmu mengingat perosak kelazatan, iaitu mati." (HR al-Tirmizi).

Kerana itu saya yakin, saat yang terbaik untuk refleksi our purpose of life adalah di saat kita sedang menghadapi saat-saat terakhir kehidupan kita. Pada saat itu akan terpancar jelas masa-masa kehidupan yang telah kita habiskan dan dari situlah kita boleh mengetahui apakah tujuan hidup kita selama ini. Adakah ia sudah mematuhi tujuan hidup yang Allah tetapkan pada kita. Malah pada akhir hayat itu, jika tujuan yang kita impikan adalah untuk mendapatkan redha Allah, maka perasaan kita di saat hujung nyawa itu adalah pastinya keresahan amanah sebagai khalifah dan aabid yang belum dapat ditunaikan sesempurnanya. Namun, andai kata tujuan hidup kita adalah selain dari itu, pasti yang kita risaukan adalah perkara yang sebaliknya. Tiada kerisauan untuk bertaubat, tiada kerisauan untuk kembali kepadaNya.
Kerana itu ubat mujarab bagi penyakit hati adalah dengan mengingati mati. Kerana hanya dengan mengingati mati kita akan jelas apa matlamat sebenar Allah jadikan kita di atas bumi ini. Untuk mengIllahkan Dia, untuk meletakkan Dia ditempat tertinggi dalam kehidupan kita. Kerana pertemuan dengan Dia itu adalah sesuatu yang pasti dan tidak dapat dielakkan. Dan itulah yang akan menjadi arah tuju amalan kita.

"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)." (QS 67:2)

Ramai orang tidak berminat untuk bercerita mengenai mati. Saya kurang pasti kenapa. Saya tidak menulis post ini untuk menakutkan anda atau menyebakkan anda, cuma untuk mengajak diri ini dan anda-anda untuk kembali muhasabah. Kerana terkadang kita rasa kita sudah mengetahui tujuan hidup kita, namun kita masih ragu-ragu untuk melaksanakannya. Dan kadang-kadang kita merasakan kita sudah melaksanakan kedua tujuan itu, tapi pada akhirnya, apabila direcheck semula amalan kita, tidak menunjukkan yang kita sudah menunaikan amanah kita sebagai seorang khalifah dan sebagai seorang aabid.

Kerana kita semua insan, selalu sahaja terlupa, maka entry kali ini hanya sekadar untuk mengingatkan sebelum terlambat. Dan bagi yang belum menjumpai tujuan hidup mereka, perbanyakkan mengingati mati, kerana mungkin disitu kita akan jumpa ke mana sepatutnya arah tuju hidup kita. Adakah Allah menjadikan kita ini sebagai satu makhluk yang sia-sia?

"The wisest person among you is the one who remembers death the most" (Al-Hadith)


Allahu a’lam. Semoga Allah redha.

No comments:

Post a Comment