Tuesday, May 1, 2012

kembara jiwa kerdil merdeka : INTRO



بسم الله الرحمن الرحيم
كيف حالك؟


Subhanallah..Alhamdulillah..Astaghfirullah..



"Andai tidak mampu berlari, berjalanlah. Andai tidak mampu berjalan, maka carilah ruang seketika, bukan untuk berputus asa, tetapi untuk mengumpul tenaga. Suburkan kembali rasa cinta Illahi. Kerana hanya dengan cintaNya kaki dapat terus melangkah dan berlari menuju pengakhiran hakiki."




Alhamdulillah. Dengan izin Allah, saya berpeluang untuk merasai kecantikan bandar Zakopane, sebuah kawasan pergunungan di Poland. Alhamdulillah Allah permudahkan kembara untuk menyemarakkan rasa kekerdilan diri sebagai seorang hamba. Untuk menyuburkan rasa cinta pada Illahi, Rabb yang menciptakan hambaNya dengan penuh rasa kasih dan sayang. Kembara yang memberi ruang untuk bermuhasabah, memperbetulkan kembali tujuan dan mengikhlaskan niat, untuk terus bekerja kerana cinta. Subhanallah, Allah izinkan untuk berada di satu kawasan yang teramat sangatlah canteeeeeek, yang membuatkan hati berasa begitu lapang dan tenang. Keindahan alam ciptaan Tuhan, siapa yang mampu menandingiNya?



"Sesungguhnya amal perbuatan itu disertai niat dan setiap orang mendapat balasan amal sesuai dengan niatnya." (HR Bukhari Muslim)




Mengapa perlu merasa kerdil?

Kita mudah kagum pada kuasa yang hebat, pada orang yang hebat, pada kejadian alam yang hebat. Dengan kehebatan yang kita nampak ini menyebabkan kita merasa kerdil sehinggakan kita mampu untuk tunduk mematuhi kehendak mereka. Jika tidak, mustahil tiada yang berani bersuara apabila kuasa-kuasa besar menetapkan sesuatu keputusan, mustahil untuk masyarakat terpengaruh pada kata-kata ahli politik yang hebat, mustahil ada orang menyembah pokok yang pelik-pelik, gunung yang besar, batu yang unik dll. Semuanya kerana rasa kerdil diri! menyebabkan mudah untuk manusia tunduk pada yang nampak hebat ini.

Begitu juga dengan hubungan kita dengan Allah. Setiap ketaatan bermula apabila kita merasai betapa kerdilnya diri kita sebagai seorang hamba, malah sepatutnya ketaatan kita lebih lagi terutamanya apabila Allah telah memberi kita seribu macam nikmat, yang mana kita tahu, tanpa nikmat-nikmat yang Allah berikan ini, mustahil untuk kita hidup seperti mana kita sekarang ini. Kerana rasa kerdillah, maka kita merasai kebergantungan yang hebat pada Allah. Setiap inchi kehidupan kita ini semuanya bergantung pada kehendak dan rahmat Allah, tidak ada walau sedikit pun perkara dalam yang berlaku dalam kehidupan kita ini hanya bergantung kepada kehendak kita semata-mata. 

Allah lebih mengetahui malah Maha Mengetahui, Dia yang menentukan segalanya, padaNya ada segala sesuatu, Dia yang paling berkuasa malah Dia tidak memerlukan apa-apa, Dia tidak memerlukan kita! 

Dan kita pula hanya seorang hamba yang teramat sangatlah memerlukan Allah, sangat bergantung pada nikmat dan rahmat yang Dia berikan. Mudah sahaja hidup untuk goyah bila nikmat dan rahmatNya ditarik dari kita. Bila kita rasa betapa kerdilnya kita sebagai seorang hamba, maka akan semakian jelaslah kasihnya Allah pada hambaNya, yang Maha Pemberi. Dari kita yang tidak punya apa-apa kepada apa yang kita punya sekarang. Terlalu banyak! Dengan rasa kekerdilan ini, akan bertambahlah keyakinan seorang hamba untuk terus mentaati Tuhannya, yang Maha Pengasih Maha mengasihani.


~rasa kerdil~


Betulkah perlu merasa kerdil?

Betul! ehee..

Allah menuntut perasaan kekerdilan ini dalam setiap diri hambaNya. Tuntutan ini dinyatakan dalam surah Al-Alaq, surah pertama yang Allah turunkan pada junjungan besar Rasulullah saw.

"Bacalah dengan nama Rabb (Tuhan) yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Rabbmu (Tuhanmu) Yang Maha Mulia. Yang mengajarkan dengan pena. Dia mengajarkan manusia  apa yang tidak diketahuinya."

Allah pertama kali memperkenalkan diriNya pada Rasulullah saw sebagai Rabb, Tuhan yang menciptakan. Supaya tertanam rasa kerdilnya diri sebagai seorang hamba yang diciptakan. Allah menuntut rasa penghambaan kita padaNya, agar tertanam sifat rabbaniyyah dalam diri kita. Kerana hanya selepas tertanam rasa ini dalam diri kita, maka ketaatan padaNya dapat dilakukan dengan sempurna. Malah jika kita lihat, Allah, Tuhan yang Maha Pengasih inilah yang menyempurnakan nikmatNya pada kita dengan mengajar kita yang pada asalnya tidak tahu apa-apa kepada manusia yang berpengetahuan. Subhanallah, nikmat akal yang Allah sempurnakan pada kita yang mana mustahil untuk kita hidup dengan aman, untuk melakukan aktiviti harian dengan sempurna tanpa nikmat ini.

Kita sudah dikurniakan akal. Namun apa sebenarnya masalah kita?

"Sekali-kali tidak! Sungguh, manusia itu benar-benar melampaui batas. Apabila melihat dirinya serba cukup."

Subhanallah. Benar sekali perkataan Allah. Ini sebenarnya masalah kita. Kita mudah lupa. Mudah sahaja untuk kita lupa pada Dia, Tuhan yang telah menciptakan kita malah menyempurnakan nikmatNya ke atas kita yang tidak punya apa-apa ini. Mudah sahaja hati kita sombong padaNya, sombong untuk tunduk pada perintahNya. Mudah sahaja dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita ini, kita gunakan untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan murkaNya.

Maka di manakah penyelesaiannya buat hati yang begitu mudah terleka ini?

"Sungguh, hanya kepada Tuhanmulah tempat kembalimu."

Hanya itu penyelesaiannya. Merasai bahawa suatu hari nanti kita akan berjumpa dengan Tuan Pemilik kepada nyawa, harta dan kehidupan kita. Allah yakinkan hambaNya bahawa kelak kita akan berjumpa dengan Dia, pemilik kita yang abadi, untuk mempersembahkan amalan kita padaNya. Kelak kita akan menyaksikan dengan mata kita sendiri akan amalan kita, sejauh mana setiap nikmat yang Tuan kita berikan kepada kita ini telah kita hargai sebaiknya sebagai seorang hamba.

".....dan sujudlah serta dekatkanlah (dirimu kepada Allah)"

Pada akhirnya Allah mengajak kita untuk mendekatkan diri kepadanya iaitu melalui sujud (rasa hamba, rasa kerdilnya kita kepada Dia, Rabb yang mempunyai segalanya).

Bak kata Syed Qutb dalam Inilah Islam, dengan rasa kerdil inilah maka akan lahirlah jiwa yang merdeka, bebas dari cengkaman nafsu sendiri, bebas dari cengkaman nafsu manusia lain, bebas dari cengkaman kelalaian dunia yang mengasyikkan, bebas dari pengaruh mana-mana kuasa besar, yang akhirnya melahirkan ketaatan hanya pada pemilik kita yang sebenar, Allah. Itulah definisi merdeka yang sebenarnya.


Konklusinya?

Apa tunggu lagi, mari menjadi hamba! (maaf langit Illahi, pinjam moto sebentar). eheee..

InsyaAllah akan berkongsi beberapa pengalaman yang sangat berharga sepanjang berada di sana. Semoga bermanfaat untuk semua.




"Dari rasa kerdil, akan lahirlah seorang hamba. Dari rasa hamba, akan jelaslah makna cinta. Dari rasa cinta, akan lahirlah seorang yang taat. Dari rasa taat, akan jelaslah makna merdeka."


Ok. Gambar jiwang. Eheeee..
Semoga Allah redha.

Allahu a'lam.

No comments:

Post a Comment